Ayat tunggal dalam Bahasa Melayu boleh terbentuk dalam susunan biasa, dan boleh juga dalam susunan songsang, melalui proses pendepanan atau penjudulan. Dalam susunan songsang, unsur-unsur dalam konstituen predikat biasanya hadir selepas subjek dipindahkan ke hadapan subjek. Unsur yang dikedepankan itulah yang hendak diberi penegasan, iaitu melalui proses pendepanan.
Dalam bahasa Melayu, terdapat sekurang-kurangnya dua proses pendepanan yang berlaku pada predikat iaitu;
(i) Pendepanan seluruh predikat
(ii) Pendepanan sebahagian daripada predikat
(i) Pendepanan seluruh predikat
Dalam proses pendepanan seluruh predikat, seluruh konstituen predikat dibawa ke hadapan mendahului subjek. Contoh proses pendepanan adalah seperti yang terdapat dalam ayat berikut. Contoh ayat menujukkan bahawa ayat (a) merupakan susunan biasa, manakala ayat (b) ialah ayat songsang yang telah dikedepankan seluruh predikatnya :
1. (a) Perangainya baik sungguh.
(b) Baik sungguh perangainya.
2. (a) Pendaki itu berjaya juga akhirnya.
(b) Berjaya juga akhirnya pendaki itu.
3. (a) Orang tua itu sangat rajin.
(b) Sangat rajin orang tua itu.
4. (a) Penyesalannya tidak berguna lagi.
(b) Tidak berguna lagi penyesalannya.
5. (a) Binatang itu sudah mati agaknya.
(b) Sudah mati agaknya binatang itu.
Proses pendepanan berlaku juga pada ayat yang mengandungi kata penegas -lah, -kah, dan -tah.
1. (a) Bapa saya dia.
(b) Dialah bapa saya.
(c) *Bapa saya dialah.
2. (a) Adik kami datang?
(b) Datangkah adik kami ?
(c) *Adik kami datangkah?
3. (a) Daya kita apa?
(b) Apatah daya kita ?
(c) *Daya kita apatah?